Wednesday, May 9, 2007

MALAM ITU............



OLEH HASNAH KHALID @ DUYONG

Tepat jam 3.30 petang , keluar sahaja dari kereta di hadapan Subang Jaya Holiday Villa, sambil membetulkan baju kemeja putih yang ku beli khas untuk hari ini ( dress code untuk perjumpaan hari ini ialah baju putih dan seluar/kain gelap), pandangan ku tertumpu pada sekelompak wanita hampir separuh usia yang berkumpul di lobby hotel.
Langkahku terhenti.
“ Masih kenalkah mereka padaku?”
“Macammanakah agaknya penerimaan mereka padaku?”
Ahhh….peduli apa!
Aku memberanikan diri dan meneruskan langkahku. Nasib baiklah tadi anak bongsuku berkeras memaksa aku memakai sandal hitam yang selesa ni, jika memakai kasut bertumit tinggi mesti goyah langkahku. Begitulah nervousnya aku! Masyaallah…nervous macam nak gi interview lagaknye aku ni..

Tersembul aje aku di pintu lobby, mereka yang sedang rancak berbual terdiam. Lebih 15 pasang mata tertumpu padaku.
Aku cuba mengukir senyum..( atau adakah aku menyeringai? )
“Duyong! Duyong!” seseorang berteriak.
“ Yalah! Duyonglah. Duyong. Duyong” serentak suara-suara makcik-makcik itu menjerit-jerit memanggil nama gelaran ku sewaktu di STF dulu. Mereka semua menerpa ke arahku. Tanpa kusedari aku juga terkinja-kinja meluru ke arah mereka. Hilang nervous ku. Hilang senyum ku. Mesti aku menyeringai seperti kerang busuk waktu itu!

Hingar bingar suasana di Lobby hotel. Tetamu-tetamu hotel yang lain terpinga-pinga melihat kami. Pekerja hotel di meja pendaftaran hanya mampu tersenyum, kelat-kelat manis. Apalah agaknya yang bermain di fikiran mereka..hmmm

Kamilah pelajar-pelajar yang menamatkan Tingkatan Tiga kami pada tahun 1975 di Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru. Inilah reunion kami yang pertama sejak 30 tahun.
Kali terakhir kami bertemu dan berpisah di bumi Johor pada tahun 1975 dulu, ketika itu kami hanyalah anak-anak manis berusia 15 tahun.
Atas idea gempak Tengku Puan Pahang, Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan hasil titik peluh dan usaha gigih yang tidak mengenal penat AJK2 yang terdiri dari Kak Cik, Kak Saba, Kak Kimah, Kak Asmah, Kak Radzie, Kak Cimid, Kak Midah O, Cik Limah, Noraini Mohadan, Suraidah Sulaiman dan Kak Raja Farizan, perjumpaan ini menjadi kenyataan pada hari ini 27 dan esok, 28 April 2007 di bumi Selangor.
Secara rasminya, satu pengumuman untuk Re Union ini ku lihat terpampang di lama yahoogroups stfoga dan stfbatch77 pada bulan March 2007 yang ditulis oleh Kak Saba. Zuraidah Sainan serta merta membalas dan menyatakan keinginannya untuk turut serta. Terkejut aku melihat nama itu. Zuraidah ialah kawan baikku semasa mula-mula bumi bertuah Tun Fatimah ke jejaki pada Januari 1973 ketika aku baru berusia 13 tahun. Zuraidah lah insan pertama yang bergelar teman yang berbual dengan ku di asrama itu. Zurai juga teman yang sama-sama menemaniku menangis bila terasa homesick yang teramat berat dijiwa ku pada waktu itu. Almaklumlah aku yang hanya seorang anak kampong yang bebas bergerak ke mana-mana serata ceruk rantau kampong, bermain masak-masak, bermain mak-mak dengan kawan-kawan , merasa amat payah untuk menyesuaikan diri dengan rutin harian asrama yang dirasakan begitu mengongkong di STF. Kehidupan yang dikawal tiap masa oleh deringan loceng, pada usia muda itu ku rasa amat menyeksakan. Paling berat ialah rasa rindu yang teramat pada famili. Lagipun aku tidak pernah berpisah dari mereka sebelum itu walau untuk semalam.

‘ Duyong, aku Zurai. RU nanti kita pergi ya? Aku bagi nama engkau kat Kak Saba tau! ‘ Suara Zurai menerpa dari talipon yang ku pegang disuatu hari , diawal April.
Setelah 30 tahun, bila suara Zurai ku dengar semula, terasa mesra, penuh keyakinan dan… tua!. Ahhhh ..itu suara Zurai! Kawan baikku dulu!

Agaknya, ketika mendengar suaraku, Zurai juga berfikir dan perasan yang suaraku juga seperti suara seorang tua! Ha ha ha…ye lah…..kami sebaya dan masing-masing dah 47 tahun. Ya Allah..how time flies….

Semasa ditingkatan 3 kami terbahagi kepada enam kelas. Setiap kelas mempunyai 30 orang pelajar. Dan kumpulan bekas pelajar ini mempunyai yahoogroup sendiri bernama http://us.f633.mail.yahoo.com/ym/Compose?To=stfbatch77@yahoogroups.com. Diawal March aku menyedari dan mula menulis ke laman web ini. Aku berkenalan semula dengan Kak Fariz, Siti Maimuda, Hairuszah, Kak Haini, Kak Cik, Kak Saba dan lain-lain yang sering menulis di situ. Dari situ juga aku mengetahui bahawa kawan-kawan ku itu ada yang menjadi doctor, pensyarah, professor madya, juruhebah RTM, cikgu dan berbagai-bagai lagi jawatan di berbagai jabatan kerajaan dan swasta. Dari hari kesehari semakin dekat Re Union semakin gementar rasanye untuk bertemu kengkawan.

Dan aku malu.

Malu kerana setelah 30 tahun tidak bertemu, aku telah membesar berkali ganda dan menambah berlapis-lapis dagu……hatta melampaui kuih lapis yang sering ku masak. Jawatan ku juga tidaklah setinggi mereka yang lain..hanya pagar dawai sahaja. Tertanya-tanya di benakku, bagaimanakah penerimaan mereka terhadapku, terutamanya teman rapat dan mesra yang dulunya ku panggil Dot tapi kini bergelar Datin Halidah! Bergulunglah lidahku memanggilnye datin je sepanjang hari….

‘ Engkau mesti talk ingat aku!’ seseorang menggenggam erat jari-jari montokku. Dia tersengih di depanku. Tanganku digoncang-goncang mesra sambil dia tertawa. Aku renung wajah itu.

Ya..aku kenal dia!
‘ Jemilah Abu Bakar!’ aku sendiri terjerit kegembiraan. Suara akukah yang menjerit itu? Masyaallah…tapi. .aku ingat dia. Aku ingat sangat ngan dia.

Raaap! Aku dipelok erat. Pipiku yang terlebih serbuk penaik bak kata kak Fariz disanggingi oleh pipi Jamilah yang masih seperti dulu saiznya. Pipi kanan. Pipi kiri. Pipi kanan semula. Berapa tahun kita bersama Ella? 5 tahun? 7 tahun? Dulu masa sekolah aku tak pernah pun sentuh pipi engkau, tapi hari ini tiap pipi kawan-kawan yang lain pun turut menyentuhi pipi ku. Sebak dada teman weh.…

Betapa aku merindui kalian..!

‘Tak berapa muat tangan aku nak memeluk engkau Yong.’ Kata Roy (Datin Rohaiza).

Sume mengatakan gitu padaku tiap tubuh kami berpautan. Anehnya..,saat itu aku lansung tidak sedikit pun merasa malu atau terasa hati dengan gurauan mereka semua. Malahan tiap patah kata mereka seperti muzik ditelingaku. Aku pelok setiap seorang dari seratus lebih teman-teman ku pada hari itu tanpa rasa segan atau pun silu. Cuma Tengku Puan yang aku segan nak pelok. He he he.. Ampun, Tengku Puan…Saya segan. Lain kali I peluk you jugak…jika u izinkan.. It is not that I love you less or I remember you less, tapi I segan je…

‘Angun..! Angun..! ‘ jerit anak bongsu kesayangan Datin Dot ketika ku temui mereka di gelanggang bowling di Pins and Balls, level 2 hotel tersebut jam 5.30 petang. Kami beramai-ramai makan petang di situ. Yang masih aktif dan segar bugar berebut-rebut bermain bowling. Ku lihat Ranti Sakiman menghayun bola seperti menghayun buah pulasan aje layaknye. Kuatnye engkau Ranti ! Yang tidak berapa aktif seperti ku melayan kawan-kawan berbual, menyambut mereka yang baru sampai dan sambil itu sempat juga melayan selera di Hi-Tea yang dihidangkan di situ.

Anak comel si Dot yang berusia 4 tahun tadi menjerit-jerit tidak membenarkan aku duduk di sisi emaknya. Ha ha ha… ‘Inilah penghibur hati kami suami isteri. This miracle baby came late in life’, kata Dot. Gemercik suara anak itu memenuhi ruang Pins and Balls menagih perhatian emaknya yang sekejap dipelok orang ni dan sekejap dipelok orang tu. ‘Husband I demam, ada di bilik kat atas’, Dot berkata sedikit apologetic. Ya..itulah kehidupan. The other half will always remain a half!

Di Pins and Balls aku memelok pula Kak Haini, Ranti, Kak Pah,Tengku Norsida dan yang lain-lain yang tidak mungkin dapat kusebutkan nama mereka satu persatu di sini. Sambil memelok Tengku Norsida ku raba rambut dalam tudungnya. Dulu rambutnya panjang sampai ke ponggong. Sesiapa yang berada di STF pada tahun 73 hingga 79 pasti mengenalinya for that trademark.

‘Engkau masih berambut panjang lagi ke Shida?’. Seseorang menanyanya.
‘ Aku dah raba dah. Dah tak ada dah rambutnya’. Aku menyampok. Tg Norsida tersenyum manis. Dia masih lemah lembut seperti dulu.
‘Laki aku suruh potong ‘ katanya tersenyum. Aku membayangkan her other half got tangled in her long hair..ha ha ha.

Malam itu mulai jam 8.30 kami makan malam di Classic Ballroom, level 3. Kak Radzie memaparkan gambar-gambar lama kami sebagai montage. Suasana ballroom di Holiday Villa itu akhirnya berubah wajah menjadi seperti dewan STF lagaknya. Gambarku sewaktu di remove class bergaun pendek di porch bersama Zurai juga dipaparkan. Aku sendiri tiada menyimpan gambar itu! Camana boleh Hairuszah pulak yang ada simpan gambar tu? Mengekek-ngekek teman-teman ku ketawa . Duyong..Duyong… Namaku diseru. Ahhh…bahagianya aku!

Nasi Beriani, daging kambing, ayam panggang dan segala-galanya ku jamah pada malam itu. Semuanya sedap! Tentunya lebih sedap dari makanan yang dihidangkan di dewan makan STF tapi mana boleh tanding kegembiraan ku makan nasi minyak yang dihidangkan pada tiap malam Jumaat di sana . Pastinya lebih sedap lagi bila semuanya memakai baju kurung hijau kan ?

‘ Kita pernah gaduh dulu kan Yong?’ Terperanjat aku bila tiba-tiba Kak Shahidah Ibrahim bersuara ketika membalas pelokanku. Aku cium pipinya. Rindunya aku pada mu kak. Kakak ini ialah Class Monitor ku sewaktu kami ditingkatan Enam tahun 79. Dan aku assistantnya. Aku renong wajahnya. Jarinya tidak ku lepaskan. Aku keliru.

‘Iye ke kak? Bila? Saya tak ingat pun. Kenapa kita gaduh kak?’ Aku menanya bertubi-tubi.
Cikgu Shidah hanya tersenyum.

Raap! Aku diterpa dan dipelok lagi.
“Engkau Duyong!. Ingat aku tak?’ Tuan punya tangan yang menarikku menanya. Aku terkedu. Siapa yek? Terkulat-kulat lagi.
‘Orang kampong lah! Saya pernah datang rumah kamu dulu. Kamu udah lupakan saya ke ? Rumah kita dekat-dekat.”

Huh.!!?

“ Alaaa..saya NorJariahlah. .”

Raap.!
Norjariah ku pelok erat. Akhir sekali aku berjumpanya 32 tahun yang lalu semasa kami di tingkatan Tiga. Sesungguhnya aku rindu…

Zap. Zap. Zap.
Kami bergambar. Aku yang kebelakangan ini selalu menolak untuk bergambar bersama anak-anak dan saudara mara, tidak menolak untuk bergambar bersama-sama teman. Aku pulak yang terkinja-kinja mencelah jika nampak teman-teman bergambar. Aku tidak akan melepaskan peluang bergambar dengan kalian semua pada hari ini. Walau mukaku akan memenuhi separuh dari skrin kamera kalian …Lantaklah !

Zap. Zap. Zap.
‘Sungguh kami tak sangka berupaya mengumpulkan seramai ini teman-teman kita. Target kami pada mulanya hanyalah seramai 50 orang sahaja. Tapi hari ini hampir 120 orang yang sudi datang. Jumlah ini sangat memberansangkan. Kami berterima kasih pada anda semua yang sudi datang’ kata Kak Cik dalam ucapannya.

‘Hebat betol dia orang ni. Camana ye mereka dapat cari kita semua?’ kata Kak Haini keheranan dan kagum. Kami terkesima.

Itulah the power of will. Itulah the power of women. Kalau hati kita nak, semua boleh jadi dengan izinNya. Antara ramai tu, Kak Aida datang dari Amerika, Siti Maimuda dari Brunei, Kak Fariz dari Kulim, Su dari Batu Pahat, kak Yang Cik dari Segamat, Kak Pah dan Tg Norsida dari Kelantan. Dan seorang dari laut dalam. He he he…akulah tu! Duyong katakan. Dan entah dari mana lagi. Dari lembah Kelang yang paling ramai. Ada antara kami yang tinggal berdekatan namun mungkin tidak mengenali satu sama lain atau pun tidak terjumpa kerana kesibukan masing-masing menguruskan kehidupan berkeluarga dan berkerjaya.

Jam 1.30 pagi, setelah berkali-kali berkata akan menyanyikan lagunya yang terakhir, Tg Puan akhirnya berhenti menyanyi. Bravo Tg Puan. Rasanya Zizi menyanyi dari jam 10 malam tu sampai jam 1.30 pagi. Siti Nurhaliza patut tabik. Kami bertuah..,dihiburkan dengan suaranya yang serak-serak basah oleh seorang teman yang juga puteri seorang sultan.

Saya bangga.

Selepas itu masing-masing ada yang balik ke bilik dan ada yang balik kerumah,..seperti ku. Suami beserta anak bongsu menjemputku dalam renyai-renyai pagi itu…Penatnye. .my age must be catching up to me…Esok paginya ada juga teman-teman yang menyambong cerita sesame mereka semasa acara Taichi dan Brunch. Aku tidak turut serta kerana melayan famili adik yang singgah sebelom balik ke kampungku di Perak.

Namun tidak akan ku lupa wajah-wajah mu teman. Suara kalian masih tergiang-giang ditelinga. Terubat rasa rindu ini buat seketika. Jiwa ni aduuhhh, berbunga-bunga!
Malam itu kami bersorak gembira bila bertemu dan berpelukan. Kami bersorak gembira bila melihat teman-teman terkapai-kapai cuba mengingati nama kami, bila name tag yang dibekalkan AJK kami tutup dengan tangan. Can you believe it? Kami pakai name tags that night!

Malam itu juga air mata kami tergenang bila mengenangkan Kak Zaharah Mahwan yang dah pergi meninggalkan kita semua. Al Fatihah..

Malam itu juga kami tertanya-tanya, kemana perginya sebahagian lagi kawan-kawan yang tidak dapat dikesan dan dijejaki. Antaranya, Nor Hamimah Alias, Sabariah Hashim, Usmirah, Zuraidah Shahrin, Rosmawati, …..dan lain-lain.

Aku berjanji pada diri, jika berkesempatan akan aku cuba cari lagi kawan-kawan yang masih belom ku temui. Akan ku jejaki kau wahai Cikgu Saadiah Hashim di bumi Segamat..dan akan ku jejak kau Kak Zuraidah Shahrin di kampungmu…

Yang aku paling pastinya malam itu makcik-makcik berusia 47 dan 48 tahun ini tidak segan-segan terkinja-kinja dan tertawa gembira dan puas bila menatap wajah-wajah teman kesayangan.

Alhamdulillah, Tengku Puan telah berkenan menjemput kami ke istananya di Kuantan untuk perjumpaan kami yang kedua dalam dua tahun lagi. Pada masa itu aku berharap tangan teman-teman akan dapat bertaut ketika memelukku !

(Note: Straight from the heart of an STF FIVERS 77 on the REUNION DINNER)

No comments: